Thursday, February 16, 2012

HUKUM MENGGUGURKAN KANDUNGAN

HUKUM MENGGUGURKAN KANDUNGAN

Sepakat ulama’ mengatakan bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan setelah ditiup ruh tanpa sebab-sebab yang dikategorikan sebagai darurat. Usia kandungan yang ditiupkan ruh itu adalah selepas kandungan itu berusia empat bulan atau 120 hari kehamilan.Ini berdasarkan dalil:

Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Sesungguhnya setiap k...amu terkumpul kejadiannya dalam perut ibumu selama 40 hari dalam bentuk nutfah, kemudian dalam bentuk ‘alaqah selama itu pula, kemudian dalam bentuk mudghah selama itu pula, kemudian ditiupkan ruh kepadanya. (HR al-Bukhary, Muslim, Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)

Adapun menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan ruh kepadanya, berlaku perbincangan di kalangan ulama’ namun secara ringkasnya adalah seperti berikut:

* Harus hukumnya menggugurkan janin dalam tempoh 40 hari kehamilannya sebab dalam tempoh ini kandungan masih tidak bernyawa.Namun ada pendokong pandangan ini meletakkan syarat tertentu seperti kandungan akan memudaratkan isteri jika diteruskan, putus susu kepada anak yang sedia ada disebabkan kandungan yang baru sedangkan suami tidak berkemampuan untuk mengupah orang lain menyusukan anaknya, mendapat persetujuan suami isteri, pengguguran ini tidak membahayakan nyawa ibu dan lain-lain.
* Makruh hukumnya.
* Haram secara mutlak kerana persenyawaan telah berlaku dan ia akan hidup. Imam al-Ghazali mengatakan ia adalah satu bentuk jenayah ke atas benda wujud yang akan terjadi.Manakala Ibnu Jauzi mengatakan perbuatan itu tetap dikira berdosa walaupun tidaklah sama dengan menggugurkannya setelah ditiupkan roh.

menggugurkan kandungan yang berusia belum sampai tempoh 40 hari adalah harus kerana ia hanyalah gumpalan darah , belum membentuk sifat-sifat paling minima sebagai manusia. Ia juga seperti ‘azl (coitus interruptus). Ia merupakan tindakan mengeluarkan sperma di luar vagina perempuan apabila suami tidak mengkehendaki kehamilan berlaku kepada isterinya. Nabi s.a.w. pernah membenarkan perkara ini berlaku kepada seorang sahabat dengan sabdanya: “Lakukanlah ‘azl padanya jika kamu suka!” (HR. Ahmad, Muslim)

Adapun menggugurkan kandungan yang berusia 40 hari dan lebih , – wallahu a’lam – termasuk dalam larangan yang difahami dari sabda Rasulullah s.a.w. kerana pada tempoh itu gumpalan darah sudah terbentuk dengan sifat-sifat minima sebagai manusia .

“Jika nutfah (gumpalan darah) telah melalui empat puluh dua malam, maka Allah mengutus seorang malaikat padanya, lalu dia membentuk nutfah tersebut;
dia membuat pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan tulang belulangnya. Lalu malaikat itu bertanya (kepada Allah), ‘Ya Tuhanku, apakah dia (akan Engkau tetapkan) menjadi laki-laki atau perempuan?’ Maka Allah kemudianmemberi keputusan" (HR Muslim)

Meletakkan sebab-sebab ekonomi sebagai alasan untuk menggugurkan kandungan, – wallahu a’lam- adalah perkara yang telah diperingatkan oleh Allah dalam beberapa ayat sebagai alasan yang tidak kukuh dalam syara’. Antara firman Allah berkenaan adalah:-

“Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka” (QS al-An’am 151)

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (QS al-Isra’ 31)


[1]Rujuk Fatawa Ibnu Taimiyah, Hasyiah Ad-Dusuqi, Nihayatul Muhtaj, al-Furu’;al-Muhalla .

[2]Rujuk Hasyiah Ibnu Abidin, Hasyiah ar-Rahuni , Nihayatul Muhtaj ,al-Furu’.

[3]Rujuk Jamie al-Fusulin , Fatawa Khaniyah , Hasyiah Ibnu Abidin , Nihayatul Muhtaj , al-Furu’ .

[4] Rujuk Ihya’ Ulumiddin

[5] rujuk Ahkam an-Nisa’

No comments:

Post a Comment