Assalamualaikum wbt
Hari ni 24/7/14 khamis, bersamaan 26 Ramadhan 1435H. Tinggal 3 hari sahaja lagi baki ramadhan. Aku harap untuk hari yang masih berbaki ni aku dapat melipatgandakan lagi amal ibadah. Rugi nye rasa kerana telah mensia-siakan ramadhan kali ni kalau tak ambil peluang yang ada. Mana tahu 3 hari yang berbaki ini segala amalan ikhlas diterima oleh Allah swt. Bukan lah kata sepanjang ramadhan ni tak buat langsung amal ibadah, hari-hari buat, tapi kita tak tahu samada amal ibadah yang kita dah buat sepanjang ramadhan tu diterima Alla swt atau tidak. Kita ni kan setiap masa buat dosa. Mana lah tahu kan, kita berpuasa tapi mulut mengumpat, mencaci, mencerna, sebut perkataan yang tak baik dan macam-macam lagi. So masa yang masih berbaki ni elok lah ambik peluang untuk bertaubat, mohon keampunan dan tambahkan amalan baik dengan ikhlas. In Sya Allah.
Alhamdulillah, ramadhan kali ni aku dapat tunaikan kewajipan sebagai isteri dan ibu. Pertama kali dalam hidup aku bangun untuk sediakan sahur, kejutkan suami sahur, uruskan anak, uruskan rumah dan macam-macam lagi tugasan. Hidup rasa sempurna walaupun ala kadar sahaja. Apa lagi yang lebih penting bagi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu melainkan tanggungjawab pada suami dan anak.
Persiapan raya ala kadar sahaja. Sebab mood nak sambut raya datang dan pergi. Ini semua dipengaruhi oleh persekitaran. Semakin umur meningkat, semakin hilang rasa nak sambut raya. Tidak seperti zaman kanak-kanak dahulu. Tambahan pula isu rakyat Palestin, isu penerbangan MH17, dan beberapa faktor lain telah mempengaruhi mood nak raya. Setiap hari mood sedih. Lagi sedih bila aku tak mampu nak tolong mereka yang dalam kesusahan. Tak sanggup tengok mayat anak-anak kecil jadi mangsa manusia terlebih tamadun yang tiada perikemanusiaan. Aku juga ada anak kecil, mereka tidak mengerti apa-apa, kenapa ragut hak mereka???
Takziah dan Al-Fatihah untuk keluarga mangsa MH17. Begitu tragis sekali. Aku turut merasai kehilangan yang dirasai oleh ahli keluarga mangsa. Aku juga pernah kehilangan orang yang tersayang. Tidak ada makna lagi sambutan raya tanpa mereka yang tersayang.
Anakanda pun masih kecil, belum lagi mengerti erti ramadhan dan syawal. Jadi persiapan raya hanya untuk si kecil sahaja. Sepasang baju melayu untuk anakanda. Cukup lah tu. Ada lagi kanak-kanak lain yang tidak mampu pun untuk sepasang baju baru. Untuk kanda, katanya dia tak perlukan baju baru. Baju melayu yang ada pun dah cukup. Aku pula, kebetulan ibu mertua belikan kain untuk aku semasa melancong ke Vietnam tahun lepas, tahun lepas lagi dah siap jahit, tapi masih belum berkesempatan untuk pakai, sebab dah berhenti kerja, so boleh la jadikan baju raya. Syukur alhamdulillah !!!
Kueh raya dan segala yang berkaitan tu aku rasa tak perlu. Lagipun tahun ni kehidupan kami dah berubah. Seolah-olah baru sahaja memulakan hidup, sejak berpindah, aku tak mengharapkan ada tetamu yang datang kerumah. Lagipun tiada sesiapa yang dikenali di tempat baru ni. Jiran-jiran pun rasanya tak datang kerumah aku ni. Kalau sudi datang pun, aku sediakan apa yang ada aje lah.
Apapun tahun ni kami akan balik beraya di kampung halaman aku di Kelantan. Kemudian balik ke kampung halaman kanda di Selangor. Lepas tu balik semula ke Johor. In Sya Allah, semoga perjalanan kami selamat dan dilindungi Allah swt. Walaupun mood raya datang dan pergi, saat-saat sebegini insan mana yang tak ingat dan rindukan mak dan ayah serta ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan kampung halaman. Ini lah masanya aku nak menziarahi kubur arwah mek dan ayah. Setahun sekali, hanya di hari raya, hari lain masing-masing sibuk hal dunia. Nanti tak pasal-pasal menangis bila dengar takbir raya !!!
Akhir kata aku ucapkan Selamat Menyambut Aidil Fitri kepada seluruh umat islam. Mohon ampun dan maaf zahir & batin. Ikhlas dari Hasni, Habib & Al-Qa'id.