Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang  bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan  hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi  akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak, tenaga dikerah  dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di  bahagian tertentu.
Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan  makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan  meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum).  Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah  kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh  sebab itulah makan perubatan moden menentang amalan berpantang cara  Melayu. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu  tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka  yang kurang berkemampuan.
Jenis ikan
Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana  makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat  kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu  perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan  yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta  parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan  kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung,  tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong,  kerang dan lain-lain.
Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin  ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman  dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat  mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu  dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik  turut mendapati perkara tersebut benar.
Ulam-ulaman
Terdapat pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di  mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan,  kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi  fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan  E, bersifat anti oksidan.
Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya:
Daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun  kaduk, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas  dan daun ruku.
Jenis sayuran dan buahan
Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta  berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi,  pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang,  petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta  terung. Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta  tajam seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti  nenas, jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat,  tembikai cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka,  pisang embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis,  macang, kuinin, dan binjai. Makanan tersebut dilarang kerana dapat  mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.  Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat  dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.
Jenis ayam dan burung
Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam  selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam  ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh.  Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan  mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment