Assalamualaikum wbt
Salam Nuzul Quran kepada seluruh umat islam. Hari ni Selasa 15/7/14 bersamaan 17 Ramadhan 1435H.
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam
kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya
berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada
kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan,
tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti
turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah
mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat
Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun
ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat,
muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan
dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang
mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu
perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain
perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak
seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka
umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab
Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka
(untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan
pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.
Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan
bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang
mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan
malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang
menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena
dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(al-‘alaq:1-5)
*sumber artikel dari portal JAKIM
Mari kita sama-sama menghayati sejarah Nuzul Quran dan ambil peluang sekali setahun ini untuk perbanyakkan amal ibadah dan berbuat kebaikan. Semoga kita mendapat keberkatan dan kasih sayang dari Allah swt.
No comments:
Post a Comment