Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Tuesday, August 26, 2014

Kerabu Sotong

Puasa ritu aku masak kerabu sotong buat menu berbuka. Gara-gara terliur tengok kakak ipar post gambar kerabu sotong kat fb, aku terus google resepi dan cuba sendiri. Kali pertama buat terus menjadi, almaklumlah tengah puasa mana la nak tahu rasa dia ok ke tidak. Apapun aku happy sangat kanda suka dan minta buat lagi nanti. 


Puas hati dan rasa yakin bila buat sesuatu terus menjadi. Tapi aku jenis yang kalau masak kali pertama menjadi, masak kali kedua dah tak sesedap yang pertama. Banyak kali dah jadi cenggitu !! 

Tuesday, July 15, 2014

Ragam Ramadhan 2014

Assalamualaikum wbt

Hari ni 15/7/14 Selasa dah masuk 17 hari kita berpuasa ... Bila dah tengah bulan macam ni rasa cepat aje masa berlalu.  Dah nak dekat habis ramadhan. Padahal baru je lagi aku berpuasa. Ramadhan akan pergi meninggalkan kita .... pasti rindu bertamu lagi.

Ragam ramadhan tahun ni .... awal2 lagi dah kecundang .... tapi tetap juga berpuasa macam orang lain sebab feel tu memang dah ada. Mood dia lain sangat, bersemangat nak puasa membuak-buak ... itulah keistimewaan yang Allah swt anugerahkan pada wanita. Tapi kan serius cakap rasa macam ruginye la sebab kena tinggalkan puasa. Itu sebab walaupun ada peluang yang Allah swt bagi, tapi tetap juga puasa... Mood tu nak puasa juga walaupun tak boleh. hihihi

Seminggu awal memang rajin sungguh aku memasak. semua masakan aku nak cuba. seronok sangat bila masakan tu dimakan leh kanda. sedap tak sedap belakang kira, yang penting aku masak ikhlas dan penuh kasih sayang. Masuk minggu kedua mood memasak kelaut. Kebetulan, ada majlis berbuka puasa, kemudian kanda pulak outstation 2 hari. Memang mood berbuka dan sahur ala kadar aje. 

Apapun ni dia menu berbuka untukminggu kedua

Ayam Goreng Kunyit Halia Kubis Bunga
Nasi Goreng Ayam
Spageti Bolognese
Nasi Lemak, Sambal Ikan Bilis Petai
Ikan Percik

Ok lah, sekarang nak bersiap sebab nak balik ke Selangor. Semoga perjalanan kami selamat.

Nuzul Quran 1435H

Assalamualaikum wbt

Salam Nuzul Quran kepada seluruh umat islam. Hari ni Selasa 15/7/14 bersamaan 17 Ramadhan 1435H.


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:


”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

*sumber artikel dari portal JAKIM

Mari kita sama-sama menghayati sejarah Nuzul Quran dan ambil peluang sekali setahun ini untuk perbanyakkan amal ibadah dan berbuat kebaikan. Semoga kita mendapat keberkatan dan kasih sayang dari Allah swt.

Sunday, July 6, 2014

Seminggu pertama ramadhan 1435H

Assalamualaikum wbt

Selamat berpuasa semua ...

Semoga puasa kali ini lebih bermakna kepada kita ...

Jom pakat rebut peluang ramadhan kali ni untuk memperbanyakkan amal ibadah, walaupun sekecil-kecil ibadah, jika dibuat secara berterusan akan memberi kesan yang besar ... Allah swt tidak berkira dengan kita untuk memberi pahala, jadi kenapa kita nak berkira untuk berbuat kebaikan !!

*peringatan untuk diri sendiri ....

Dah seminggu kita berada di bulan ramadhan .... cepatnya masa berlalu ....

Kali ni aku nak share menu berbuka selama seminggu yang lepas .... teringin sangat nk berkongsi menu berbuka dan nak juga tahu menu berbuka orang lain ... mesti masing-masing seronok kan berkongsi resepi, gambar makanan yang dimasak ... ye lah kadang-kada takde idea nak masak apa untuk berbuka, bila tengok menu orang lain, baru lah ada idea ... kadang-kadang nak makan sesuatu tapi susah nak dapat ... kalau ada pun belum tentu menepati citarasa... lepas tu pulak pergi bazar semua nampak sedap, balik rumah makan, tak sedap langsung !! ada je yang tak kena kan !!

Syukur sebab setakat seminggu ni aku masak apa yang ada ... lebih kepada eksperimen memasak jugak .. menunya simple ... tapi tak ambil gambar ... huhuhuhu


  1. Paprik ayam dan telur dadar dan ikan sepat masin goreng
  2. Masak lemak cili padi ayam dan sayur campur sotong goreng
  3. Masak lemak cili padi ikan sepat masin
  4. Kari ayam
  5. Asam pedas ayam
  6. Tom yam ayam campur ketam segera, kan pari bakar (beli di bazar)
  7. Udang goreng kunyit dan sambal sotong             

Nampak tak hari pertama tu, banyak menu, kemudian hari seterusnya hanya satu lauk utama, takde sayur ... ahahhah  

Lauk ikan masin adalah compulsory ... sebab kanda suka makan ikan masin terutama ikan sepat !! itu la pembuka selera kanda ... kalau takde ikan masin ... sikit je makannya !!

Kueh untuk berbuka beli sahaja di bazar ... aku tak pandai buat kueh !! tapi niat nak belajar tu ada ... In sya Allah ..

Ok hari ni tak perlu masak ... sebab ada majlis berbuka puasa di opis kanda !! huhuhuhu boleh la berehat lama sikit !! 

Itu la antara menu eksperimen aku di bulan ramadhan ni .... nak masak apa ye esok ??? dah kering idea ni ...ahahaha

Ramadhan 2014

Assalamualaikum wbt

Hari ni sabtu 5 julai 2014, dah hari ke-7 umat islam berpuasa .. Syukur alhamdulillah ... Dapat lalui ramadhan kali ini dengan tenang dan penuh kesyukuran.

Ramadhan kali ni sangat bermakna bagi aku. Ini merupakan kali pertama kami bertiga sambut ramadhan sebagai sebuah keluarga kecil.... Kanda, anakanda dan aku ... Berjauhan dr ahli keluarga yang lain....

Sejak berkahwin 3 tahun yang lalu, aku tinggal sebumbung dengan keluarga mentua ... Jadi kami sambut ramadhan bersama-sama ... Teringat masa kali pertama sambut ramadhan dengan mentua, entah kenapa aku rasa sangat sebak sebab terlalu rindukan kampung halaman, rindukan arwah ayah, rindukan abang2 dan kakak2 .. Dan yang paling aku rindu ialah suasana berpuasa di kampung... Sangat berbeza terutama juadah berbuka juga suasana sewaktu nk dekat waktu berbuka ... Aku jd sangat sensitif sbb masa tu tengah mengandung ... Kuatkan semangat dan akhirnya aku berjaya harungi ramadhan !!!

Begitulah tahun seterusnya, bila tiba ramadhan aku akan sebak dan rindukan kampung. Tahun lepas aku meronta-ronta ajak kanda balik kampung semata-mata nk berpuasa kat sana. Walaupun aku tak dapat rasa suasana puasa, tapi sekurang-kurangnya terubat rindu untuk rasa makanan berbuka.

Tahun ni pun aku sebak juga... Tapi terpaksa pendam saja perasaan tu ... Aku tak mahu bebankan kanda ..... Kanda pun tentunya rindukan kampung dia, rindu ibu abah dia... Almaklumlah kat tempat baru ni kami kena sesuaikan diri ... Nak taknak kena la hadapi apa sahaja yg berlaku. Perasaan rindu dan sebak pd kampung halaman perlu diketepikan.

Harapan aku tahun ni biarlah kami berdikari merasai susah payah dan penat lelah kehidupan sebagai suami isteri ... Aku cuba jalankan tanggungjawab sebagai isteri di bulan ramadhan ini dengan penuh rasa kesyukuran. Aku akan cuba cipta moment ramadhan kami sendiri...

Setakat hari ni aku sedaya upaya memasak untuk berbuka dan sediakan makanan tuk sahur ... Siang hari pula melayan anak makan ... Disamping melakukan kerja rumah yang tak pernah habis.

Di kesempatan ini aku nk ucapkan selamat menyambut bulan ramadhan al mubarak kepada seluruh umat islam .. Ambillah kesempatan di bulan mulia ni untuk perbanyakkan amalan ibadah ... Semoga ramadhan kali ni membawa satu moment baru dan juga peluang untuk berubah kearah yg lbh baik... Hanya setahun sekali .. Inilah masanya untuk berbuat kebaikan mengumpul pahala dan hapuskan dosa-dosa lalu.

Happy ramadhan kareem !!!

Monday, August 19, 2013

Ramadhan di Kelantan

Aku berasal dari kelantan .... mek oghe klate !!! huhuhu

Ok, setiap kali bulan puasa, jauh di sudut hati aku memberontak ... teringat zaman aku membesar di kampung halaman dulu, imbas balik kenangan di bulan puasa ... pastu menitis air mata sebab terlalu rindukan suasana ketika tu, rindukan kampung, rindukan kenangan lama, rindu serindu rindunya. tapi apa boleh buat, x boleh dah nk undur balik !!

Setelah berbincang dengan kanda akhirnya kanda setuju tuk balik kelantan sebelum raya. so kami 3 beranak pun gerak la balik kelantan pada 1 Ogos 2013 yang lalu. oleh sebab aku ni anak yatim piatu, mak ayah dah xde, rumah arwah ayah dh jadi rumah abang, dan keadaan rumah tidak lagi seperti dulu (mood rindu rumah arwah, tempat aku dilahirkan dan membesar, sedih weiyh) ... aku decide tuk stay di Kota Bharu ... aku awal2 dah booking hotel ... cukup hotel bajet tuk kami, asal boleh berteduh, tidur, makan, mandi dan berehat dengan selesa.

Pemandangan dari bilik hotel .... nama hotel terpampang besar !!


Masjid Negeri @ Masjid Muhammadi


Pintu Gerbang ... ikon Negeri Kelantan


Bilik hotel pilihan kami .... luas dan selesa ...




Hari pertama kami sampai, amik masa sejam mencari lokasi hotel, betul2 di bandar KB tapi agak tersorok dan jauh dari hiruk pikuk kesesakan bandar. lepas check-in kami berehat sementara tunggu asar. selepas asar kami keluar untuk mencari makanan berbuka. berjalan kaki 5 minit ke Pasar Siti Khadijah mengharapkan ada sesuatu, tapi kebanyakan kedai hampir tutup. tanya punya tanya, katanya ada medan selera 2 blocks away dr tempat kami bertanya. aduh kena jalan lagi. kaki dh penat! rupanya dekat aje. ingatkan medan selera macam kat KL, rupanya ada jualan macam bazar. tp dalam 10 ke 15 stalls aje. ok la tuh, itu pun dh memadai. kami sampai awal so makanan masih banyak. aku apa lagi sempat snap beberapa keping gambar... sebagai kenangan... lepas ni entah ada lagi ke tidak peluang mcm ni kan!!









Dah beli apa yg diperlukan, terus jalan balik ke hotel !! rebahkan badan, berehat, mandi dan tunggu azan. Untungnya stay di hotel ni, bersebelahan dengan Masjid Negeri iaitu Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Selepas berbuka, kanda ajak keluar jenjalan sekitar bandar KB. Selepas isyak kami gerak, kanda decide nk drive. takde hala tuju pun, just nak jenjalan je, tengok2 kalau ada yang menarik. akibatnya kami terperangkap dalam jam betul2 dalam pusat bandar. rupanya ada macam pasar malam kat tengah2 bandar ... so kami decide tuk parking and jenjalan di pasar malam tu. balik bilik hotel, memang kepenatan tahap gaban ... aku terus terlelap, kanda pun sama, qa'id pun sama.

Hari kedua, aku ke Pasar Siti Khadijah mencari barang .... selesai urusan, balik ke hotel ... hari ni habiskan masa dalam bilik hotel je ... kepenatan semalam masih terasa. then petang ke medan selera tuk membeli juadah berbuka .... selepas isyak kanda sekali lagi ajak ke pasar malam. kali ni kami jalan kaki ... hehehe !! taknak jadi kes mcm semalam. 5 minit je pun !! Inilah hasilnya .... 

Singgah tengok je ... x beli pun kucing tu !!


belikan qa'id baju raya !! Rm28 je .... gila murah !!


Berehat sekejap menikmati sate ikan !! qa'id makan banyak ... sedap katanya !!


sate ikan stall .... menggamit kenangan !!


Hari ketiga check out .... gerak balik rumah arwah ayah. sempat berbuka dengan abang sekeluarga. Kalau dh sampai rumah arwah ayah aku akan cari air tuak. minuman feveret dalam bulan puasa.... dapat teguk tuak dua tiga gelas, puas hati .... malamnya kami semua menziarah nenek yang sakit tua. 

Hari keempat kami gerak balik ke Bangi. singgah di Raub Pahang jemput abah, berbuka puasa sesama dan selepas terawikh gerak balik Bangi. Alhamdulillah selamat sampai ke rumah jam 12 malam. terus rehat sebab esoknya dh kena masuk keje.

Kesimpulannya balik kelantan tuk merasai nikmat puasa tercapai, aku dapat rasa kueh kelantan yang hanya dijual semasa puasa je. tahun depan entah dapat ke tidak peluang macam ni lagi. seronoknya kalau dapat berpuasa dan beraya di kampung halaman sendiri. bilakah agaknya !! well sejujurnya sambutan puasa atau raya tanpa orang tua memang jauh beza. macam aku, orang tua dh xde, rasa macam xde tempat dh nak tuju. balik negeri sendiri tapi stay kat hotel, macam orang asing gayanya. walau apapun terjadi, walau kemana sekalipun aku pergi aku takkan lupa dari mana asal usul aku. walau apa pun kata orang tentang kelantan, aku tetap bangga menjadi anak jati kelantan. walau mak ayah dah xde, dan xde tempat untuk dituju aku tetap akan balik ke tanah tumpah darah aku. tempat jatuh lagi kan dikenang inikan pula tempat lahir, membesar dan bermain.

Jika dipanjangkan umur, insyaAllah aku nak sangat balik kampung halaman ... walaupun sekejap cuma. tidak semestinya hari raya atau puasa. tapi kalau boleh nak aje menetap di kelantan selama-lamanya !!



Ramadhan dan Syawal 2013

Ikutkan ramadhan dah pun berlalu ... hari ni pun dh 12 syawal ... akibat mood nk update blog kelaut so hari ni aku merajinkan diri jugak la .... just nak cerita tentang ramadhan yang baru je ditinggalkan.

Sayu rasa di hati bila ramadhan pergi ... entah sempat entah tidak tuk ramadhan tahun depan ... dengan keadaan dunia sekarang ni yang macam dh nk kiamat ... apa pun aku tetap bersyukur kerana tahun ni berpeluang tuk menikmati ramadhan. 

Sepanjang ramadhan kali ni, aku tanam dalam diri tuk mengelakkan pembaziran. aku nk lalui dan nikmati ramadhan sesederhana mungkin. alhamdulillah aku berjaya tuk tidak mengunjungi mana-mana bazar ramadhan, aku tahan diri dari berbuka di luar, dan bersederhana semasa berbuka dan bersahur. Alhamdulillah aku betul2 menikmati ramadhan dengan cara yang sebaiknya yang dituntut oleh islam. iaitu tidak membazir dan bersederhana. dan yang paling bermakna ialah aku akhirnya dapat merasai suasana berpuasa di kelantan. yang sememangnya dah lama aku rindui dan ditunggu-tunggu saban tahun. alhamdulillah syukur !!

Untuk persiapan raya juga, aku cuba untuk bersederhana ... baju raya aku sepasang aje, aku upah jahit dan telah siap awal tahun ... so tak terasa sangat duit mengalir tuk baju raya. hanya baju kurung moden simple dan xde nak ikut fesyen terkini bagai. kemudian kuih raya aku langsung tak beli. dua tahun lepas aku hanya membantu ibu membuat biskut raya. dan aku ada juga membeli beberapa kueh raya. tapi kali ni aku menyumbang dengan membuat biskut raya. dan aku juga menyediakan juadah raya tuk keluarga yang bertandang. 

Mungkin tahun depan giliran aku plak yang memasak kot ... ibu boleh berehat dan beribadah dengan tenang. itulah hasrat aku ... berjasa pada ibu mertua sama seperti berjasa pada ibu sendiri. inilah peluang tuk aku membalas jasa seorang ibu, menghargai ibu selagi masih ada. kalau dh xde ibu, baru tahu apa rasanya. tentu arwah ibu aku dan juga arwah ibu tiriku bangga dan gembira bila aku berbuat baik pada ibu mertua. aku sekarang pun dh jadi seorang ibu dan aku sangat2 memahami perasaan seorang ibu. dulu tak berkesempatan tuk membalas jasa mereka dan menghargai mereka, so peluang ini tidak akan aku sia-siakan... insyaAllah.

Oleh sebab kanda bizi dengan sailing, dan aku plak dh boleh drive keta, so persiapan raya kanda aku sediakan. sepasang baju melayu tuk kanda dan sepasang baju melayu tuk anakanda. ok, sume dh komplete, dh boleh raya dengan hati yang gembira. ikutkan tahun ni giliran beraya di kelantan, tapi di saat akhir perancangan tak menjadi. so aku decide tuk balik lebih awal. dan hari raya pertama pun tanpa kanda. di saat akhir, malam takbir, kanda muncul dengan selamat ... syukur alhamdulillah. terasa lengkap hari raya aku. 

Cumanya dalam keluarga mertua, 2 adik ipar tidak ada bersama untuk meraikan ramadhan dan syawal kali ini. lumrah hidup memang akan sampai masanya kita akan berjauhan dengan keluarga. dan pengalaman yang macam ni yang buat diri kita menghargai kehidupan. apapun sambutan raya tetap diteruskan dan disambut dengan sederhana penuh kesyukuran. kemeriahan raya tetap ada dan diri sendiri lah yang mewujudkan suasana itu ... di hari yg mulia penuh keberkatan sempena meraikan kemenangan diri kita menentang hawa nafsu, kita berhak tuk bergembira walaupun org tersayang tiada di sisi. iaitu dengan gembira mensyukuri nikmat Allah swt. jangan lupa untuk mendoakan insan2 tersayang yang tiada di sisi. 

Sekarang ni pulak masing-masing sibuk dengan open house, jamuan raya, beraya sakan mengunjungi sanak saudara, teman dan rakan taulan. bagi yang menjemput aku ke rumah masing2, aku cuba hadirkan diri jika tiada aktiviti lain. sebabnya di rumah aku ni setiap malam ada tetamu. rasanya abah xde buat open house tahun ni, makanya sesiapa yang ingin bertandang dialu-alukan. kerana rumah kami sentiasa open !!!

Ok, dah penat menaip dan berceloteh, layankan gambar2 yang sempat aku snap sepanjang ramadhan dan syawal 2013. Semasa balik ke kelantan 4 hari, dapat juga akhirnya merasa makanan kelantan yang hanya boleh dibeli di bazar. nak buat sendiri memang xreti ... so jejak juga kaki ini ke bazar ramadhan. harga murah, makanan sedap, banyak dan beli tuk berbuka leh simpan sampai sahur !!








Ini pula puding trifle yang aku buat tuk hari raya .... 1st time buat dah menjadi ... alhamdulillah !!




Puding trifle 2nd time buat .... baru berani buat dalam bekas besar !!


Jelly buah-buahan tropika .... habis licin sumenya !! 


Gambar raya family .... our family ... big family .... tema biru !!





big family, tema warna warni ... !! 



Mood raya macam biasa je .... tapi kemalasan tuk bekerja tu .... adoyaiiii .... ok, nanti update pasal ramadhan 4 hari kat kelantan plak !!

Wednesday, July 10, 2013

Ramadhan 1434H

Assalamualaikum wbt

SELAMAT DATANG YA RAMADHAN 1434 H

Setahun menunggu dan alhamdulillah harapan untuk bertemu tertunai jua. syukur pada mu ya Allah kerana panjangkan umurku untuk merasai nikmat bulan Ramadhan 1434H. 

Walaupun ketibaan Ramadhan kali ini aku sambut dengan perasaan suka dalam duka, namun aku tetap berharap agar aku boleh menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin, lebih baik dari tahun sudah. 

InsyaAllah aku cuba untuk istiqamah dalam beribadah agar aku dapat menikmati Ramadhan sepuas-puasnya. 

Selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak 1434H

Selamat menunaikan ibadah puasa dan solat terawih ... semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna untuk kita semua. amin.

Friday, August 17, 2012

Bye bye Ramadhan ... semoga berjumpa lagi

Sedar atau tidak, suka atau sedih, yang pasti tetap pasti. Lusa yg nyata sudah 1 Syawal ... bermakna hari esok hari terakhir ramadhan, hari terakhir umat islam berpuasa. 

Aku sebenarnya rasa gembira sebab nak raya, yang penting tahun ni balik kampung halaman. Tapi hari ni hati aku tetiba rasa sebak dan sedih sebab akan tinggalkan ramadhan. Tinggal sehari je lagi puasa, rasa macam cepatnya masa berlalu. 

Terdetik di hati, adakah amalan aku di sepanjang ramadhan ini cukup dan diterima oleh Allah swt??? Agak-agak aku berkesempatan ke untuk bertemu ramadhan akan datang?? 

Aku berdoa agar tahun depan aku masih berkesempatan untuk bertemu ramadhan dan berpuasa sebulan. Juga semoga tahun depan aku dapat melipatgandakan lagi amalan. InsyaAllah. 

Monday, August 13, 2012

Puasa oh Puasa

Alkisah sepanjang ramadhan tahun ni .... huhuhuhu

Memang berbeza dengan tahun lepas dan lepas dan lepas lepas ..... tapi semua tu menjadi kenangan manis dan pahit yang terpahat buat selama-lamanya.

Sepanjang ramadhan ni hanya berbuka ala kadar sahaja di rumah. mother-in-law yang masak dan aku hanya membantu apa yang patut. so apa yang mereka makan, itu la juga yang aku makan. kadang-kadang tu teringin juga nak makan makanan feveret aku seperti nasi kerabu, nasi dagang, akok, tepung pelita, cendol, nekbak, jala mas dan kuih-muih kelantan yang lain. almaklumlah, duduk ngan family mentua ni, kena la ikut cara diorang. lagipun mana nak cari semua makanan yg aku suka tu. hanya ada kat kelantan aje la. kat sini ada juga tapi x sesedap mana pun.

Setakat ni ada juga la berbuka di luar. Kali pertama (3 Ogos 2012) berbuka di luar, di Restoran Red Wok Bandar Baru Bangi. Berbuka dengan kawan-kawan kanda Ex-EMF. Makan kat restoran ni ok aje. boleh masuk tekak lagi la. takde la sedap sangat pun. konsep BBQ Steamboat ... layan diri. so steamboat faham-faham aje la, seafood dan ada juga chicken, beef dan lamb. Food station jauh, dah tu ada satu je foodstation, orang plak ramai dan berebut-rebut. Selepas makan kat sini, aku sakit perut dan cirit-birit seminggu lamanya. 

Kali kedua (8 Ogos 2012), makan di Restoran Al-Sinni Sungai Merab. Dekat aje dengan rumah. Kat sini pun konsep sama juga, BBQ Steamboat. Restoran ni baru dibuka tahun ni, setiap hari lalu depan rest ni, mmg xde org. dia buka petang sampai malam. sunyi sangat, senang citer, leh bankrup la bisnes macam ni. tapi bila pegi berbuka, sungguh tak sangka, orang penuh dan full house. makanan dia boleh tahan sikit dr Rest Red Wok. bihun goreng singapore ada la rasa garam dan gula. kalau nk dibandingkan dengan nasi goreng kicap kat Rest Red Wok yg tawar dan hambar tu. Steamboat dia ada pilihan kuah. kitorang dh campur macam2 dah. dan yg paling aku suka beef, lamb dan chicken BBQ memang sedap. banyak aku makan lamb malam tu. Kali ni makan dengan kawan kanda Ex-EMF dan staff Suria Rahmat.

Kali ketiga (11 Ogos 2012), makan di Restoran Warung Dusun, Bandar Baru Bangi. Pada pendapat aku, tempat ni paling best. makanan dia memang sedap. makan hidang bukannya buffet. so tak perlu berebut-rebut dan bersesak-sesak. selesa la sikit bagi aku yag ada anak kecil. lauk plak banyak. terima kasih la pada yg order lauk tu. memang superb. siap boleh ratah lagi lepas makan berbuka. menu simple aje, ikan goreng sweet sour, ikan masak stim, sayur kailan ikan masin, tomyam, ayam goreng, paprik udang, sup tulang dan air sirap dan laici. yang simpel ni la yg sedap, mengenyangkan dan puas hati. hingga sekarang ni pun masih lagi terbayang makanan hari tu.

Aku tak sempat nak snap picture sebab sibuk dengan baby, mana nak makan, nak tangkap gambar lagi. sudahnya, muka aku ni masuk dlm kamera hp sesapa yg sudi je. tak kisah sgt la tentang gambar tu. 

Aku terkilan sebab miss majlis berbuka puasa kat umah. menu kambing bakar dan nasi ayam yg tak patut dilepaskan. tapi sebab terpaksa penuhi jemputan berbuka di luar, maka tak dapat la makan kambing bakar. melepasss. balik umah, sume makanan habisssss. cis !!

ok la, 16 hb ni satu lagi majlis berbuka puasa. nnt update kemudian !!


Friday, July 20, 2012

Ramadhan 1433H

Ahlan wasahlan ya ramadhan !!

Hoorey, ramadhan datang lagi. syukur ya Allah, tahun ni dapat berpuasa lagi. 

InsyaAllah ramadhan kali ni lebih baik dari tahun lepas. aku berazam tuk melipatgandakan ibadat. walaupun aku tahu memang tak dapat nk pegi sembahyang terawikh kat masjid atau buat sendiri kat umah, tapi sekurang-kurangnya tahun ni berkurang la perbuatan yang tak berfaedah.

Ini ramadhan pertama aku sebagai ibu. ramadhan tahun lepas baby masih dalam perut. syukur juga sebab dapat puasa walaupun tengah sarat. kali ni pulak baby dah lahir. so aku tak dapat nak assume apa-apa tuk ramadhan kali ni. 

Apa pun semoga aku dapat tempuhi ramadhan kali ni dengan penuh kesabaran, kesederhanaan dan tawaddhuk. Semoga Allah terima segala amalan aku. InsyaAllah

Tuesday, September 6, 2011

::: Selamat Tinggal Ramadhan 2011 :::

ALHAMDULILLAH ... !!!

Syukur kehadrat ALLAH SWT ...
kerana mengurniakan nikmat ramadhan untuk aku pada tahun ini. Syukur sangat sebab dapat berpuasa penuh. Sebenarnya hampir penuh ... aku cuma tinggal puasa sebanyak 3 hari atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Terpaksa batalkan puasa !! Sedih juga tapi aku redha ...

Di penghujung ramadhan ni bermacam-macam perasaan muncul ... pertamanya sedih sebab ramadhan dah nak habis ... keduanya gembira sebab dah nak raya ... ketiganya adakah aku berkesempatan merasa ramadhan tahun depan??? selebihnya tak perlulah mention kat sini !! yang penting lepas ni nak kena ganti puasa pulak !!! kalo boleh nak ganti cepat-cepat ... tak suka nak tangguh lama-lama ...

Apa pun aku dah cuba yang terbaik untuk ramadhan kali ini ... sesungguhnya ramadhan kali ini meninggalkan seribu cerita yang akan menjadi memori suka duka dalam hidup aku ... hakikatnya ramadhan kali ini aku berpuasa sebagai seorang isteri, bakal ibu, bersama suami dan keluarga mentua. Tahun depan belum tahu lagi camana !!

Harapan aku sudah tentulah mengharapkan ramadhan tahun depan lebih bermakna lagi jika diberi peluang oleh ALLAH SWT !!

InsyaALLAH !!

Wednesday, August 3, 2011

::::: Ramadhan 2011 ::::::

Ahlan wasahlan ya Ramadhan Kareem 1432H !!


Syukur alhamdulillah aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur dan melimpahkan rezeki padaku untuk sambut ramadhan pada tahun 2011 ni yang jatuh pada 1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432H. Dan ramadhan tahun ni sangat la bererti buat aku.

Ramadhan tahun ni aku sambut dengan penuh kesyukuran, penuh rasa terharu, sebak dan gembira. Sangat-sangat berharap ramadhan tahun ni membawa seribu kebaikan. Kerana tahun ni adalah tahun pertama aku berpuasa sebagai seorang isteri. Kali pertama dapat berpuasa bersama-sama kanda suami ku tersayang dan lagi dapat menyambut puasa dengan keluarga mentua. Dan yang paling bermakna ialah berpuasa dalam keadaan mengandung 22 minggu. Setakat hari ini (puasa ke-3) aku masih berupaya dan diberi kakuatan untuk meneruskan puasa. Aku berharap sangat kali ni dapat berpuasa penuh !! Itu azam aku.

Alkisahnya .... pada hari pertama puasa, aku bersemangat bangun untuk bersahur. Kononnya nak tolong ibu mentua masak. Tapi bila ke dapur, semuanya telah siap. Aku sangat beruntung kerana semuanya telah disediakan mentua. Aku hanya membantu apa yang patut. Tolong hidangkan makanan dan kejutkan kanda  dan adik-adik ipar. Menu sahur hari pertama ialah nasi goreng, sosej  ayam dan telur goreng.  Menu biasa -biasa saje tapi aku makan dengan berselera sekali. Selesai sahur aku terus bersiap untuk ke tempat keje. Keluar rumah seawal 6.30 pagi bersama kanda disebabkan kanda kerja di Port Klang berulang alik dari kajang yang sememangnya jauh. Sampai ofis sebelum jam 7 pagi ... time aku masuk keje pulak jam 8 pagi .. ada masa lebih kurang sejam ... sempat la tuk aku berehat dan tidur seketika !!!

Alkisah berbuka pulak ... entah kenapa teringin pulak nak makan kuih tepung pelita dan kuih akok.  Kebetulan hari ni macam biasa balik keje kanda akan datang jemput, so sebelum kanda datang, aku call and bagitau dia jom singgah ke bazar ramadhan putrajaya ... sebab aku teringin sangat nak berbuka makan kuih tepung pelita dan akok. Namun hampa sebab kanda dah ada janji dengan kawan2 tuk masuk kampung tengok umah sewa.... 

Disebabkan ini pertama kali berbuka dengan keluarga mentua, so aku tertanya-tanya bagaimana la agaknya masa berbuka nanti, apa yang diorang makan, masak atau beli sahaja di bazar, apa menu berbuka diorang. Sebab aku punya style sangat simple ... aku suka berbuka dengan buah kurma, air panas dan kueh mueh, kemudian baru makan heavy. Menu  yang heavy tu biasanya  beli saje di bazar ramadhan macam nasi kerabu atau apa sahaja. Ada juga lauk pauk yang dimasak. Dan memang itu la cara aku dan family berbuka kalau di kampung. Ada lauk pauk yang dimasak dan dibeli. Yang bestnye, kami akan beli pelbagai kuih muih dan yang tak dapat dilupa air kelapa bersama air tuak.  Cara mentua hampir sama saja cuma diorang takde kuih muih..... dan makanan heavy dimasak sendiri macam nasi putih dan lauk pauk. Hari pertama berbuka, hampir semua adik ipar ada dan 2 orang menantu juga. Maybe saat macam ni sangat bermakna bagi keluarga mentua sebab dapat berkumpul beramai-ramai anak beranak ditambah lagi dengan kehadiran 2 orang menantu. 

Walau apa pun suasana yang aku lalui, semuanya membawa makna yang tersendiri bila tiba bulan ramadhan. Aku juga sangat rindu saat-saat berpuasa bersama teman2 rumah sewa. Sewaktu zaman belajar dulu aku berpuasa sambil membantu abang berniaga di bazar ramadhan. Itulah pengalaman yang x dapat aku lupakan sehingga kini. Setiap kali menjejakkan kaki ke bazar ramadhan, aku akan merindu saat-saat aku berniaga di bazar. Kepenatan berniaga akan hilang secara automtik bila tiba waktu berbuka. Nikmatnye berpuasa ketika itu hanya aku sahaja yang tahu. Selesai sahur terus bertungkus lumus menyiapkan juadah berbuka untuk dijual. Selepas asar kitorang akan berniaga dan kemudian berbuka di tapak niaga. Bila aku dah mula bekerja, aku tak dapat lagi merasai suasana itu. Dan kini family aku tidak lagi berniaga di bazar ramadhan disebabkan masing-masing sibuk dan tinggal berjauhan. 

Sesungguhnya ramadhan menggamit kenangan yang tak mungkin dilupakan. Semuanya masih segar di ingatan dan akan kekal buat selamanya. Setiap kali ramadhan akan ada kisahnya yang tersendiri dan harapan aku semoga ramadhan kali ini dapat aku lalui dengan sempurna. InsyaAllah !!